Skuad Lelaki Negara Muncul Naib Juara BATC 2024
February 19, 2024 Hafizuddin Omar

Skuad lelaki negara terpaksa akur mengakhiri Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 selaku naib juara susulan tumpas kepada China dalam perlawanan akhir, semalam.

Keputusan itu juga menyaksikan skuad lelaki negara gagal untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya dalam edisi sebelumnya, dua tahun lalu.

Perlawanan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Shah Alam itu turut memperlihatkan skuad negara terpaksa turun dalam keadaan ‘tempang’ susulan dua perseorangan utama negara, Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong terpaksa diketepikan gara-gara masalah kesihatan dan kecergasan.

Dalam perlawanan terbabit, Leong Jun Hao dipertaruhkan selaku perseorangan pertama negara untuk pertarungan pertama tumpas di tangan wakil China, Weng Hong Yang secara “straight set” menerusi skor 19-21 dan 17-21.

Keputusan itu membolehkan China mendahului Malaysia 1-0.

Pertarungan kedua pula menyaksikan skuad lelaki negara mempertaruhkan beregu lelaki No.1 iaitu Aaron Chia dan Soh Wooi Yik untuk menentang gandingan Zie Hao Nan dan Zheng Wei Han.

Tatkala Aaron-Wooi Yik diharapkan seluruh peminat untuk meraih kemenangan bagi menyamakan kedudukan, sebaliknya berlaku, gandingan negara yang berada di ranking kelima dunia ini tumpas menerusi skor 21-16, 16-21 dan 21-13.

China menjadi semakin selesa mendahului dengan kedudukan 2-0.

Pada pertarungan ketiga, skuad lelaki negara mempertaruhkan pula pemain perseorangan remaja yang berusia 19 tahun, Eogene Ewe bagi menghadapi Lei Lan Xi.

Bagaimanapun, Lan Xi yang berusia 26 tahun dan berada di ranking ke-39 dunia bukanlah lawan yang setara buat Eogene dan akhirnya terpaksa aku tumpas secara “straight set” menerusi skor 10-21 dan 14-21.

Kekalahan Eogene itu membuatkan skuad lelaki dari negara tembok besar itu mendahului 3-0 sekaligus mengesahkan gelaran juara BATC buat China edisi kali ini.

Sebagai rekod, skuad lelaki negara telah mengesahkan tempat secara merit dalam saingan Piala Thomas 2024 yang akan berlangsung Mei nanti di Chengdu, China selepas muncul dalam kelompok empat terbaik BATC 2024.

Featured Image: Facebook Badminton Asia Team Championships

Komen