Perseorangan wanita remaja negara yang berusia 17 tahun, Siti Zulaikha berjaya menaiki podium di kejohanan antarabangsa buat buat julung kalinya pada tahun ini.
Bagaimanapun, Zulaikha yang berada pada ranking ke-333 dunia terpaksa berpuas hati menaiki podium itu dengan gelaran naib juara susulan tumpas di tangan pemain Indonesia, Ruzana dalam perlawanan akhir Siri Antarabangsa Sri Lanka 2024, semalam.
Perlawanan akhir terbabit menyaksikan Zulaikha yang julung kalinya bertemu Ruzana tumpas secara “straight set” menerusi skor 19-21 dan 15-21 dalam tempoh satu jam permainan.
Selaku naib juara, Zulaikha meraih wang tunai bernilai AS$200 atau bersamaan sekitar RM956.30 serta memungut 2,130 mata bagi dimasukkan dalam pelbagai pengiraan ranking oleh BWF.
Sungguhpun terlepas gelaran juara, kempen Zulaikha turut diserikan dengan kejayaan menumpaskan naib juara Kejohanan Dunia Remaja BWF 2023, Chiara Handoyo yang juga dari Indonesia pada peringkat separuh akhir.
Untuk makluman semua, ini merupakan pertandingan antarabangsa yang kedua disertai Zulaikha selepas beraksi dalam Cabaran Antarabangsa Sri Lanka 2024, awal Februari lalu.
Bagi kejohanan seterusnya, Zulaikha akan ke benua eropah untuk menyertai kejohanan Antarabangsa Remaja Belanda 2024 yang akan bermula 28 Februari hingga 3 Mac.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia