Perak FC Ikat Khidmat Adilet Kanybekov – Kapten Kyrgyzstan B-23
February 19, 2024 Hafizuddin Omar

Kapten skuad kebangsaan Kyrgyzstan bawah 23 tahun (B-23), Adilet Kanybekov kini menjadi milik Perak FC kendalian Yusri Che Lah.

Skuad berjulukan The Bos Gaurus mengumumkan dan memperkenalkan pemain import baharunya yang berusia 21 tahun itu kepada para penyokongnya pada Majlis Pelancaran Jersi Home Perak FC Musim 2024-25, Sabtu lalu.

Kanybekov menjadi pemain import baharu yang pertama direkrut oleh Perak FC pada jendela perpindahan kali ini bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2024-25 yang akan bermula Mei kelak.

Kanybekov merupakan salah seorang anggota skuad Kyrgyzstan B-23 yang beraksi dalam Kumpulan B bersama-sama Republik Korea dan Myanmar dalam kelayakan Piala Asia B-23 pada September tahun lalu.

Bagaimanapun, kelibat Kanybekov tidak dapat membantu Kyrgyzstan B-23 melayakkan diri ke peringkat akhir Piala Asia 2024 yang akan berlangsung di Qatar bermula April nanti.

Selepas itu, Kanybekov turut mewakili skuad Kyrgyzstan B-23 dimana dia diberikan peranan selaku kapten beraksi dalam temasya Sukan Asia 2022 sehingga pasukannya berhasil mara ke peringkat Pusingan 16 sebelum ditewaskan oleh Republik Korea.

Untuk makluman, sebelum ini, Kanybekov beraksi bersama FC Neftchi dalam kancah bola sepak Uzbekistan sejak Julai 2021 selepas meninggalkan pasukan berpangkalan di Republik Czech, FC Dukla Prague.

Sebelum itu, Kanybekov memulakan karier bola sepaknya dengan menyertai akademi salah sebuah kelab gergasi dalam Liga Turki iaitu Besiktas.

Untuk makluman, Kanybekov merupakan pemain tengah bertahan namun turut berkebolehan untuk beraksi sebagai pemain tengah serta pertahanan tengah.

Dia dijangka menjadi taruhan utama Yusri Che Lah untuk digandingkan bersama pemain import Perak FC yang dikekalkan sejak musim lalu, Luciano Guaycochea di bahagian tengah.

Terdahulu, Perak FC telah memuktamadkan kemasukan pemain tempatan baharu iaitu Tommy Mawat, Nur Azfar Fikri, Mohamad Ramadhan Ab. Hamid dan Ariff Ar-Rasyid Ariffin.

Featured Image: Perak Football Club

Komen