Saingan MPFL Divisyen 2 Bermula Mei, 7 Pasukan Sahkan Penyertaan
February 19, 2024 Hafizuddin Omar

Seperti ramai sedia maklum, saingan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 2024 mempunyai dua divisyen pada tahun ini iaitu Divisyen 1 dan Divisyen 2.

Sepak mula Divisyen 1 telah pun bermula pada Sabtu lalu dan ianya disertai oleh lapan buah pasukan yang tidak asing lagi dalam kancah futsal negara seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), KL City FC, Pahang Rangers FC, Selangor FC, Shah Alam City, Gombak TOT United, Sabah dan Terengganu.

Sementara itu, bagi saingan Divisyen 2 pula, tarikh sepak mulanya dijadualkan pada Mei kelak.

“Secara tentatifnya, kita akan bermula pada bulan lima nanti,” kongsi Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Rosmadi Ismail ketika ditemui para pengamal media baru-baru ini.

Pada sama yang sama, Rosmadi yang juga merupakan Naib Presiden FAM turut memaklumkan sebanyak tujuh buah pasukan telah mengesahkan penyertaan. 

“Kita pun dah dapat pengesahan daripada tujuh pasukan, dan kita harap dapat laksanakan (dengan baik),” tambahnya lagi.

Pasukan-pasukan yang telah mengesahkan permohonan terbabit ialah Pulau Pinang, ATM, Malaysian University (KPT-PST Mustangs), PFA Odin Sarawak, Kedah serta Melaka dan Negeri Sembilan United.

Sebagai tambahan, saingan itu akan dilangsungkan secara sirkit atau berpusat secara dua pusingan sepertimana diumumkan selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM Kali Ke-9 bagi penggal 2021-2025 pada November lalu.

Komen