Skuad futsal kebangsaan kendalian Rakphol Sainetngam akan menghadapi sekurang-kurangnya dua kejohanan penting pada tahun ini.
Salah satu daripadanya telah disahkan akan disertai skuad futsal kebangsaan iaitu Kejuaraan AFF Futsal 2024. Manakala sebuah lagi kejohanan, yang sedang ditunggu pengesahannya ialah Asian Indoor and Martial Arts Games (AIMAG) 2023.
Bagi menghadapi kedua-dua kejohanan terbabit, skuad futsal kebangsaan akan melakukan beberapa persiapan dengan menerima beberapa tawaran daripada beberapa negara yang ingin mengadakan perlawanan persahabatan termasuk menyertai kejohanan jemputan.
Perkara tersebut dikongsikan sendiri oleh Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai, Datuk Seri Rosmadi Ismail.
“Untuk persiapan, kita sedang merangka perlawanan-perlawanan persahabatan dengan pasukan-pasukan luar dan Alhamdulillah hasil daripada keputusan yang agak baik dalam kelayakan Piala Asia baru-baru ini, banyak pasukan-pasukan yang nak bermain dengan kita samada jemput kita ke sana atau bersetuju untuk datang datang (ke sini),”
“Insya-Allah, kita akan adakan perlawanan persahabatan ini, dalam masa terdekat selepas (saingan) liga. Kita sebenarnya telah mendapat jemputan daripada pihak Bahrain, (kejohanan di) Thailand dan juga dari Vietnam. (Selain itu) Jepun juga ada bertanya-tanya tapi setakat ini belum ada surat rasmi.” tambahnya lagi.
Ketika beraksi dalam kelayakan Piala Asia Futsal AFC 2024 pada Oktober lalu, Malaysia yang diletakkan dalam Kumpulan G menamatkan saingan di tempat ketiga di belakang Uzbekistan dan Iraq.
Kedudukan tersebut diraih selepas mencatatkan satu-satunya kemenangan dengan keputusan 5-2 ke atas Kemboja pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan.
Dua perlawanan awal menentang Iraq dan tuan rumah, Uzbekistan pula, ianya berakhir dengan kekalahan tipis 1-2 dan 3-4 masing-masing.
Featured Image: Football Association of Malaysia