Syaidatul Afifah Dilantik Ketua Jurulatih Skuad Boling Perak SUKMA 2024
February 20, 2024 Hafizuddin Omar

Skuad boling Perak akan menempuh temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak pada Ogos depan dengan “tunjuk ajar” daripada bekas pemain berpengalaman kebangsaan, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi.

Perkembangan itu hadir selepas Afifah atau turut mesra dengan panggilan Fifah dilantik sebagai ketua jurulatih sepenuh masa bagi skuad boling negeri kelahirannya oleh Majlis Sukan Negeri Perak (MSN Perak).

Perkara itu dikongsikan sendiri oleh Afifah menerusi satu hantaran yang turut mengepilkan sekeping foto surat rasmi perlantikannya di akaun media sosialnya, pada hari ini.

Antara butiran yang terpapar pada foto terbabit adalah tempoh kontraknya yang telah pun bermula 1 Januari lalu sehingga 30 September kelak.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Syaidatul Afifah (@syaidatulafifah)

Menurut Afifah, pada awal tahun lalu, bekas atlet yang berusia 32 tahun ini memaklumkan mendapat tawaran yang sama daripada sebuah negeri yang cemerlang dalam sukan ini serta mempunyai dana sukan yang besar.

Bagaimanapun Afifah mengambil keputusan untuk menolak tawaran itu semata-mata untuk membantu sukan boling serta menabur bakti terhadap negeri kelahirannya.

“Insya-Allah dengan pengalaman ini, Fifah akan kongsikan bersama anak-anak Perak.”

“Negeri Perak sangat banyak membantu Fifah meningkatkan diri dalam sukan boling dan memulakan karier sebagai seorang pemain boling.” katanya dalam hantaran tersebut.

Sebagai rekod, penglibatan sulung Afifah dalam SUKMA hadir pada edisi 2006 yang berlangsung di Kedah ketika berusia 15 tahun dimana dia berhasil membutirkan dua pingat emas.

Antara pencapaian terbaik Afifah semasa bergelar atlet profesional adalah bergelar juara Kejohanan Dunia Boling Tenpin 2017, merangkul pingat emas Sukan Asia 2018, meraih pingat emas Sukan SEA 2017, juara Kejohanan Asia Boling Tenpin 2015 dan pelbagai lagi.

Sekitar penghujung tahun 2019, Afifah mengumumkan persaraannya selaku atlet boling negara kira-kira selepas 11 tahun berkecimpung dalam sukan itu secara  profesional.

Featured Image: Majlis Sukan Negeri Perak

Komen