Artikel

Jaringan Faisal ‘Ayamkan’ Min-jae Tercalon Gol Terbaik Kejohanan

Gol menakjubkan yang dijaringkan penyerang kebangsaan, Faisal Halim ketika menentang Republik Korea di pentas Piala Asia 2023 telah dipilih penganjur, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sebagai salah satu calon Gol Terbaik Kejohanan.

Faisal atau nama julukannya Mickey menjaringkan gol tersebut dengan ‘mengayam-ayamkan’ pertahanan dan penjaga gol Korea, Kim Min-jae dan Jo Hyeon-woo pada minit ke-52 di Stadium Al Janoub yang membolehkan Malaysia mengikat skuad Taeguk Warriors 1-1. 

Selain gol oleh Faisal, sebanyak tujuh lagi jaringan turut dipilih oleh AFC dalam kejohanan yang menyaksikan 132 gol dicetak dalam 51 perlawanan sekaligus mencatat purata 2.59 gol untuk setiap perlawan.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by FA Malaysia (@famalaysia)

Tujuh jaringan lain yang tersenarai adalah gol pemain Jepun, Keito Nakamura ketika menentang Vietnam, jaringan pemain Arab Saudi, Abdulrahman Ghareeb ketika bertemu Oman serta jaringan pemain Qatar, Hassan Al Haydos ketika berdepan China.

Selain itu jaringan pemain Thailand, Supachok Sarachat ketika aksi Pusingan 16 bertemu Uzbekistan turut tersenarai beserta gol Son Heung-min ketika bertemu Australia pada suku akhir selain jaringan Mousa Al Tamari pada separuh akhir ketika membenam Republik Korea. 

Tidak ketinggalan, penyerang sensasi Iran, Sardar Azmoun turut mengisi senarai ini ketika menjaringkan gol di peringkat separuh akhir bertemu Qatar yang juga antara gol terpantas kejohanan.

Untuk makluman, sesi undian akan ditutup pada 25 Februari 2024 pada jam 10 malam waktu Malaysia dan diharap jaringan Faisal akan dinobatkan sebagai Gol Terbaik Kejohanan kali ini.

Undi jaringan Faisal Halim DI SINI.

Featured Image: AFC

komen