Tze Yong Dibedah Minggu Depan, Terlepas Terbuka Perancis & All England

February 24, 2024
Badminton

Hafiz Omar

Perseorangan lelaki No.2 negara, Ng Tze Yong terpaksa melupakan dua kejohanan besar pada bulan hadapan iaitu Terbuka Perancis 2024 (Super 750) dan Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England (All England) 2024 (Super 1000).

Kedua-dua kejohanan yang dijadualkan berlangsung dari 5hb – 10hb Mac dan 12hb – 17hb Mac masing-masing memberikan mata yang tinggi untuk kelayakan ke temasya Sukan Olimpik 2024.

Ianya berikutan pemain berusia 23 tahun terbabit bersetuju untuk menjalani pembedahan kecil pada minggu hadapan berikutan kecederaan di bahagian belakang yang menimpanya semasa beraksi di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 yang lalu.

Perkara terbabit dimaklumkan sendiri oleh Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky menerusi satu kenyataan media yang dikongsikan pada hari ini.

Pembedahan itu membuatkan Tze Yong terpaksa berehat selama dua hingga enam minggu.

Tze Yong mempunyai harapan untuk beraksi di kejohanan Spain Masters 2024 dan Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2024 bagi mengutip mata sebelum tibanya tarikh akhir bagi mengutip mata untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik – 28 April 2024.

Pada ketika ini, pemain kelahiran Johor ini berada di kedudukan ke-15 dalam ranking kelayakan ke Sukan Olimpik. Tze Yong perlu kekal dalam kelompok 16 terbaik untuk melayakkan diri ke temasya tersebut.

Featured Image: BAM

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd