ACC 2024: Izzah Rangkul Pingat Emas Acara Keirin, Anis Raih Gangsa
February 26, 2024 Hafizuddin Omar

Pelumba basikal trek wanita negara, Nurul Izzah Mohd Asri mencipta kejutan apabila muncul juara dalam acara keirin di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2024, New Delhi, India.

Kemenangan itu tercipta selepas Izzah muncul yang pertama melintasi garisan penamat mengatasi pencabar terdekatnya dari China, Tong Mengqi dalam perlumbaan akhir yang berlangsung di Velodrom Indira Gandhi, semalam.

Sementara itu, tempat ketiga pula disambar oleh seorang lagi pelumba wanita negara, Anis Amira Rosidi.

Baca: Basikal WX-R Sengaja Diletakkan Harga RM300,000 – Ini ‘Rahsia’ Dikongsikan Azizulhasni Awang

Kemenangan oleh pelumba berusia 20 tahun kelahiran Kedah itu bukan sahaja membolehkannya membawa pulang kilauan emas pertamanya daripada kejohanan terulung bagi peringkat benua asia.

Bahkan ianya telah mengakhiri kemarau kilauan pingat emas selama 12 tahun daripada pelumba wanita negara dalam acara itu di kejohanan terbabit.

Sebagai rekod, Fatehah Mustapha menjadi pelumba berbasikal wanita negara yang terakhir memenangi pingat emas dalam acara itu ketika beraksi dalam kejohanan yang berlangsung di Velodrom Cheras pada tahun 2012. 

Untuk makluman, kejayaannya dalam acara keirin itu menjadikan Izzah mengumpul tiga pingat secara keseluruhan selepas meraih pingat gangsa dan perak dalam acara pecut (individu) serta pecut (berpasukan) bersama-sama Anis Amira dan Nurul Alian Syafika masing-masing.

Featured Image: Facebook Azizulhasni Awang

Komen