Kerajaan Negeri Mohon Geran RM200,000 Bebas Pilih Rumput Asalkan Jenis Bilah Halus
February 28, 2024 Hafizuddin Omar

Kerajaan Negeri yang memohon geran sebanyak RM200,000 daripada Kerajaan Persekutuan untuk penukaran rumput di stadium pilihannya mempunyai pilihan untuk menggunakan sebarang jenis rumput asalkan ianya tergolong dalam jenis berbilah halus (fine-blade grass).

Ini bermakna Kerajaan Negeri tidak terikat untuk memilih rumput jenis Zeon Zoysia sepertimana digunakan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) dan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) atau  Bermuda Princess 77 yang ditanam di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA).

Perkara itu dimaklumkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi satu kenyataan media selepas Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Menteri/Exco Pembangunan Belia dan Sukan di Menara KBS pada 26 Februari lalu.

Sementara itu, permohonan geran yang berjumlah RM300,000 pula adalah untuk menaik taraf sistem saliran padang sekaligus menjadikan ianya berjumlah RM500,000 secara keseluruhan.

Menurut kenyataan media itu lagi, Kerajaan Negeri yang bersetuju untuk mengambil geran berkenaan memberikan komitmen bagi beberapa perkara selain daripada pemilihan jenis rumput yang berbilah halus itu.

Antaranya, menentukan lokasi yang yang dipersetujui setelah mendapat pandangan pengelola liga bola sepak tanah air, Malaysian Football League (MFL) serta menggunakan khidmat kontraktor yang berwibawa dan sesuai dengan standard (piawaian) yang digariskan oleh MFL.

Berdasarkan makluman terdahulu oleh Hannah, tiga Kerajaan Negeri telah memberi maklum balas untuk memohon geran berkenaan iaitu Negeri Sembilan, Perak dan Terengganu.

Untuk makluman, objektif utama bantuan ini disediakan KBS supaya padang bola sepak berada dalam keadaan baik seperti tiada air yang bertakung atau banjir semasa Liga Malaysia berlangsung bermula pertengahan Mei kelak.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

Komen