KBS Larang ‘Vape’ Taja Sebarang Aktiviti Sukan & Belia Di Malaysia
February 28, 2024 Hafizuddin Omar

Individu atau organisasi produk berkaitan ‘vape’ (rokok elektronik) tidak dibenarkan untuk terlibat dalam sebarang penganjuran atau menjalankan aktiviti melibatkan sukan dan belia di dalam negara.

Perkembangan ini hadir selepas Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memaklumkan telah membuat pindaan dengan memasukkan elemen baharu iaitu larangan merokok termasuk ‘vape’ di dalam Kod Sukan Selamat.

Pindaan itu dibuat selepas Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Menteri/Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri di Menara KBS, pada 26 Februari lalu.

Baca: JAKIM Mengingatkan Hukum Penggunaan Vape Atau Rokok Elektronik Adalah Haram

“Individu atau organisasi yang terlibat dalam perniagaan berkaitan produk rokok elektronik (vape) tidak dibenarkan untuk menganjur, menaja, mempromosi, mengiklan, menjual, memberi sebagai hadiah atau meletakkan cap dagangan dalam apa-apa penganjuran atau menjalankan aktiviti sukan dan belia,” kongsi KBS menerusi satu kenyataan media yang diedarkan.

Sekitar awal tahun lalu, penajaan syarikat seumpama itu mencetuskan polemik dalam arena sukan tanah air apabila sebuah kelab bola sepak dalam kancah Liga M3 menerima tajaan daripada sebuah syarikat ‘vape’ terkenal tempatan.

Untuk makluman semua, Kod Sukan Selamat dilancarkan oleh Hannah pada Mac tahun lalu adalah merupakan suatu garis panduan yang dibangunkan bagi memberi panduan mengenai persekitaran sukan yang selamat.

Selain itu, ia juga mengetengahkan peranan dan tanggungjawab semua pihak secara menyeluruh dalam menangani gangguan dan penderaan dalam sukan.

Komen