Artikel

JDT Adalah Majikan Azam Azmi, Hidalgo & Adik Beradik Kembar Lambert

Bek kanan skuad kebangsaan, Azam Azmi Murad serta adik beradik kembar berdarah kacukan Malaysia-Australia, Ryan Lambert dan Declan Lambert kini menjadi milik kelab gergasi bola sepak tanah air iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT).

Bukan itu sahaja, turut sama menyertai senarai itu ialah Manuel Hidalgo kelahiran Argentina yang beraksi bersama Kedah Darul Aman FC pada musim lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JDT, Alistair Edwards tampil memaklumkan pengikatan khidmat keempat-empat pemain tersebut menerusi satu kenyataan media yang disiarkan di pelbagai platform media sosial kelab berkenaan, pada hari ini.

Bagaimanapun, tiga daripada empat pemain yang diikat itu tidak akan menyarung jersi skuad Harimau Selatan pada musim 2024-25 kelak.

Ini berikutan ketiga-tiga pemain itu dipinjamkan kepada kelab tempatan lain.

Baca: Legenda Dunia, Diego Maradona Meninggal Dunia Pada Usia 60 Tahun

Baca: Kedatangan Ryan Lambert Menunjukkan KL City Mempunyai Aktiviti ‘Scouting’

Menerusi kenyataan media yang sama, Alistair memaklumkan Azam Azmi, 23 tahun, dipinjamkan kembali kepada kelab lamanya iaitu Terengganu FC.

Perkara yang sama berlaku kepada Declan Lambert, 25 tahun, dimana dia dipinjamkan semula kepada Kuala Lumpur City FC (KL City).

Manakala Hidalgo, 24 tahun, yang amat mengidolakan mendiang Diego Maradona, dipinjamkan kepada kelab pertama yang disertainya dalam kancah bola sepak Malaysia iaitu Sri Pahang FC.

Sementara itu, Ryan Lambert, 25 tahun, terlebih dahulu menjalani latihan bersama skuad utama JDT dan statusnya samada diserap atau dipinjamkan kepada kelab lain akan ditentukan kemudian.

Pada masa yang sama, Alistair berkongsikan bahawa kelab yang menjuarai Liga Super sebanyak sepuluh kali berturut-turut itu sedang dalam perbincangan untuk menandatangani seorang penjaga gol tanpa mendedahkan sebarang butiran lanjut.

Featured Image: Football Association of Malaysia

komen