Nama Piala AFF Ditukar Menjadi Piala ASEAN Berserta Logo Baharu
February 29, 2024 Hafizuddin Omar

Kejohanan bola sepak teragung rantau asia tenggara iaitu Piala AFF kini ditukar namanya menjadi Piala ASEAN, demikian makluman daripada penganjur, Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) dan penaja utamanya, Mitsubishi Electric.

Bukan itu sahaja, kejohanan dwitahunan itu turut mendapat logo baharu – berbentuk perisai berwarna merah dan biru yang disertakan dengan trofi dan perkataan “ASEAN CHAMPIONSHIP” dan “MITSUBISHI ELECTRIC CUP 2024”.

Pada lukisan trofi berkenaan, turut disematkan logo baharu AFF Unity Weave – merangkumi 10 butir beras dengan lima warna yang berlainan menyilangi satu sama lain yang melambangkan pelbagai bendera negara-negara ASEAN.

Menurut AFF dan Mitsubishi Electric lagi, identiti baharu tersebut akan digunakan bermula edisi ke-15 yang akan dilangsungkan dari 23 November hingga 21 Disember 2024.

Majlis undian bagi Piala ASEAN 2024 akan dilangsungkan pada 21 Mei 2024 di Hanoi, Vietnam.

Sebagai rekod, sepanjang 14 edisi penganjuran yang lalu, Malaysia berhasil muncul juara sebanyak satu kali ketika tahun 2010 dengan menumpaskan seterunya, Indonesia.

Manakala Thailand menjadi pasukan paling berjaya dalam saingan ini dengan muncul juara sebanyak enam kali.

Tambah makluman itu lagi, ini merupakan pengenalan identiti baharu yang pertama bagi kejohanan-kejohanan anjuran AFF.

Difahamkan, pihaknya akan mendedahkan beberapa lagi identiti baharu melibatkan kejohanan utamanya pada bulan-bulan mendatang.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by AFF Mitsubishi Electric Cup (@affmitsubishielectriccup)

Komen