Bekas Ketua Jurulatih Felda United Bimbing Selangor FC Buat Seketika
February 29, 2024 Hafizuddin Omar

Susulan penamatan kontrak secara bersama melibatkan Selangor FC dan Tan Cheng Hoe, skuad berjulukan The Red Giants akan meneruskan persiapan pramusimnya dengan bimbingan bekas ketua jurulatih Felda United iaitu Nidzam Jamil.

Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh pihak kelab selepas mengumumkan perpisahan dengan jurulatih berusia 55 tahun itu, semalam.

Majikannya memaklumkan Nidzam yang sebelum ini telah pun bersama Selangor FC selaku Penolong Ketua Jurulatih sejak November 2022 kini diberi peranan sebagai ketua jurulatih sementara (interim).

Bagaimanapun, Nidzam yang pernah menyarung jersi Selangor FC (dahulunya dikenali sebagai Selangor FA) dari 2000 hingga 2004 berkemungkinan tidak lama di posisi itu.

Pihak pengurusan Selangor FC memaklumkan sedang menjalankan proses pemilihan secara terperinci bagi melantik ketua jurulatih yang baharu.

Untuk makluman semua, sesi pramusim berbaki sekitar dua bulan dan setengah sahaja sebelum saingan Liga Malaysia 2024-25 membuka tiranya pada 10hb – 12hb Mei kelak.

Featured Image: Malaysian Football League

Komen