Dua penerjun wanita negara, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri yang tidak melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2024 di Paris kini tidak lagi berada Program Road To Gold (RTG).
Perkembangan ini hadir selepas Jawatankuasa RTG yang dipengerusikan bersama oleh Meteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Dato’ Sri Norza Zakaria bermesyuarat pada hari ini bagi membincangkan semakan atlet RTG sedia ada.
“Jawatankuasa RTG telah memutuskan untuk mengeluarkan penerjun wanita negara, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri daripada program itu.” kata Koordinator RTG, Datuk Stuart Ramalingam.
Walaubagaimanapun, kedua-dua atlet yang berusia 30 dan 24 tahun masing-masing itu akan terus menjadi sebahagian daripada Program Podium selaku atlet elit negara.
Pada masa yang sama, dengan penyingkiran kedua-dua atlet daripada sukan terjun ini daripada program RTG, alatan latihan yang dibiayai oleh RTG seperti platform latihan gim kering baharu 5 meter (m), pusat pemulihan khusus dan papan anjal baharu yang diluluskan FINA akan menjadi pelaburan jangka panjang yang akan memberi manfaat kepada semua penerjun kebangsaan.
Susulan daripada pengumuman penyingkiran dua atlet tersebut, RTG kini disertai oleh 12 atlet yang terdiri daripada Dato’ Muhammad Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, Mohamad Aniq Kasdan, Ng Tze Yong, Aaron Chia & Soh Wooi Yik, Ong Yew Sin & Teo Ee Yi, Pearly Tan & Thinaah Muralitharan serta Chen Tang Jie & Toh Ee Wei.
Featured Image: FINA