Bagi melahirkan dan membantu atlet-atlet muda berpotensi untuk meraih pingat emas pada temasya Sukan Olimpik 2028 Los Angeles (LA28) di Amerika Syarikat, Majlis Sukan Negara (MSN) tampil memperkenalkan program baharu yang dinamakan Program Fast Track.
Program ini diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Road To Gold (RTG) baru-baru ini. Ianya diletakkan di bawah Jawatankuasa RTG disamping bekerjasama rapat dengan MSN bagi memastikan atlet terpilih mendapat sokongan mencukupi untuk mencapai kecemerlangan.
Untuk makluman semua, program ini akan bermula selepas selesai temasya Sukan Olimpik 2024 Paris kelak.
Pemilihan atlet-atlet untuk menyertai program ini adalah berdasarkan kriteria-kriteria seperti berikut;
- Berusia antara 16 hingga 25 tahun
- Pemenang pingat di Sukan Olimpik / Sukan Asia & Komanwel / Pemenang Pingat di Kejohanan Dunia
- Kedudukan Dalam ranking Olimpik 16 terbaik dunia
- Kedudukan dalam ranking 20 terbaik dunia
Setakat ini, hanya atlet daripada dua jenis sukan sahaja yang dipilih untuk menyertai Program Fast Track iaitu terjun dan skuasy.
Berdasarkan pengumuman, enam atlet terawal yang terpilih untuk menyertai Program Fast Track ialah Betrand Rhodict, Enrique Maccartney (terjun, 10m platform), Ng Eain Yow (skuasy, perseorangan lelaki), S. Sivasangari, Aifa Azman dan Aira Azman (skuasy, perseorangan wanita).
Pada masa yang sama, atlet-atlet yang berada di dalam Program Fast Track diberikan sasaran tahun untuk dicapai seperti berikut:
- 2024 – Kelompok 20 terbaik dunia
- 2026 – Kelompok 16 terbaik dunia
- 2027 – Kelompok 10 terbaik dunia
- 2028 – Layak ke LA28 dan pencabar pingat