Artikel

Rindu Keluarga, Orang Tua Tak Sihat Asbab Rizal Kembali Ke Kedah

Selepas dua musim menyertai pasukan berpangkalan di kepulauan borneo, Sabah FC, bek kanan kental, Rizal Ghazali kembali ke pangkuan Kedah Darul Aman FC.

Kedatangan semula pemain berusia 31 tahun terbabit bersama Kedah menimbulkan sedikit tanda tanya memandangkan Rizal merupakan tonggak Sabah FC di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee.

Bukan itu sahaja, kelibat Rizal telah membantu Sabah FC menamatkan saingan Liga Super di tempat ketiga sebanyak dua kali berturut-turut iaitu pada tahun 2022 dan 2023.

Tidak dilupakan, Rizal kelahiran Baling juga memainkan peranan penting menolong Sabah FC muncul juara Kumpulan H dalam saingan Piala AFC.

Bagaimanapun, Rizal mempunyai alasannya yang tersendiri untuk kembali bersama Kedah – pasukan yang disertainya dari 2014 hingga 2021.

“Saya pulang ke Kedah atas banyak sebab terutamanya 2024 ni sebab saya rindu dengan keluarga, orang tua saya tak berapa sihat.”

“Apapun saya berterima kasih kepada KDA FC bawa saya pulang kembali dan saya akan buat yang terbaik.”

“Saya harap penyokong diluar sana penuhkan kembali stadium macam sebelum ni. Insya-Allah 2024 ni saya percaya ada sinar.” katanya seperti dikongsikan oleh pihak kelab.

Bagi ketua jurulatih, Nafuzi Zain, kemasukan Rizal akan memberikannya pilihan untuk mengisi posisi bek kanan selain daripada Wan Amirul Afiq – yang kekal bersama Sang Kenari.

Untuk rekod, sejak bergelar sebagai pemain bola sepak profesional, Rizal atau turut dikenali sebagai Jai telah merekodkan 178 penampilan disamping menjaringkan 11 gol dan mencipta 14 bantuan gol.

Featured Image: Kedah Darul Aman FC

komen