Perlis United Belum Dapat Lesen, Perlu Penuhi 4 Kriteria Terlebih Dahulu
March 7, 2024 Hafizuddin Omar

Pasukan yang berpangkalan di utara semenanjung tanah air, Perlis United FC belum diberikan Lesen Luar Biasa (Extraordinary License) oleh First Instance Body (FIB) yang membolehkannya beraksi dalam saingan Liga Super 2024-25.

Bagaimanapun, pasukan yang bertanding dalam saingan Liga M3 musim lalu itu diberikan peluang oleh Ahli Lembaga Pengarah Malaysian Football League (MFL) untuk melengkapkan empat lagi kriteria sebelum diberikan lesen tersebut.

Peluang tersebut diberikan oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL selepas permohonan Perlis United disemak dan diteliti FIB dilihat memiliki dokumen lebih kukuh dengan salinan surat penajaan berjumlah RM25 juta daripada empat penaja berpotensi.

Empat penaja tersebut ialah Mudim Zakaria Food Industries Sdn Bhd, Ivory Properties Group Berhad, M.A Intelligent Holdings Sdn Bhd dan Al Razi Holding (M) Sdn Bhd.

Selain itu, Perlis United turut mengemukakan salinan cek berjumlah RM5 juta daripada salah satu penaja tersebut sebagai bukti dana kewangan pasukan serta surat sokongan daripada Kerajaan Negeri Perlis yang ditandatangani oleh Menteri Besar, YAB Tn. Mohd Shukri Ramli dan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA).

“Ahli Lembaga Pengarah (MFL) mengambil keputusan tidak memberi lesen tersebut pada masa ini,

“Pasukan Perlis United FC perlu melengkapkan empat lagi langkah (kriteria) sebelum diterima masuk ke dalam Liga Super 2024-25,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Stuart Ramalingam ketika ditemui oleh para pengamal media semasa program Demi Rimba Kita 20204 di Taman Tugu Hike Trails, hari ini.

Difahamkan empat kriteria yang perlu dilengkapkan oleh Perlis United tersebut adalah membabitkan aspek kewangan. Ianya bertujuan untuk memastikan kemapanan dan berkemampuan untuk mengendalikan pasukan dalam saingan liga musim 2024-25.

Tambah Stuart lagi, setiap kriteria yang perlu dilengkapkan oleh Perlis United itu diberikan tarikh akhir yang tersendiri dengan yang terakhir adalah pada 21hb Mac.

Sementara itu, permohonan tiga pasukan lain iaitu Imigresen FC, KL Rovers FC dan Harini Selangor FT untuk mendapatkan Lesen Luar Biasa (Extraordinary License) disahkan gagal.

Untuk makluman, MFL bertindak membuka semula permohonan Lesen Luar Biasa (Extraordinary License) kepada pasukan-pasukan Liga M3 pada 18 Januari lalu bagi menggantikan Kelantan FC yang ditolak permohonanan Lesen Kebangsaan oleh FIB dan Jawatankuasa Rayuan (AB).

Featured Image: Perlis United FC

Komen