Terbuka Perancis: Aaron-Wooi Yik Wakil Tunggal Negara Mara Ke Suku Akhir
March 8, 2024 Hafizuddin Omar

Beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik muncul sebagai satu-satunya wakil Malaysia yang berjaya melangkah ke peringkat suku akhir dalam kejohanan Terbuka Perancis 2024.

Gandingan pemain negara berusia 27 dan 26 tahun masing-masing itu mara setelah berhasil menumpaskan gandingan Chinese Taipei, Lee Fang-chih dan Lee Fang-jen pada pusingan 16, awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Aaron-Wooi Yik yang berada di ranking kelima dunia menumpaskan mereka dengan bergaya secara “straight set” menerusi skor 21-16 dan 21-18 dalam tempoh masa 39 minit di Gelanggang 4, Adidas Arena, Paris.

Sebagai rekod, ini merupakan kemenangan kedua berturut-turut dilakar Aaron-Wooi Yik ke atas Fang-chih dan Fang-jen ketika berentap di pentas antarabangsa.

Susulan kemenangan terbabit, Aaron-Wooi Yik akan bertemu juara dunia dari Republik Korea iaitu Kang Min-hyuk dan Seo Seung-jae pada peringkat suku akhir bagi Jelajah Dunia BWF Super 750 ini.

Berdasarkan rekod pertemuan, kedua-dua pasangan ini pernah bertemu sebanyak tiga kali sebelum ini.

Daripada tiga pertemuan tersebut, hanya satu sahaja berhasil dimenangi oleh Aaron-Wooi Yik.

Pada masa yang sama, pertemuan terakhir melibatkan kedua-dua pasangan ini di Terbuka Malaysia 2024 pada Januari lalu turut berpihak kepada Min-hyuk dan Seung-jae.

Untuk makluman semua, kejohanan Terbuka Perancis kali ini disertai seramai sebelas wakil Malaysia bermula dari pusingan 32.

Namun begitu, daripada sebelas wakil itu, hanya tiga sahaja berhasil melangkah ke pusingan 16 iaitu Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun selain daripada Aaron-Wooi Yik – yang menjadi wakil tunggal menjejaki peringkat suku akhir.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen