Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA) membatalkan niatnya untuk menghantar pasukan atau menyertai saingan Liga Super 2024-25 sepertimana diumumkan mereka selepas daripada Kongres Tahunan Ke-67 pada penghujung tahun lalu.
Niat tersebut dibatalkan selepas pertemuan MAFA bersama sebuah kelab Liga AFL (Amateur Football League) untuk membincangkan perkara berkenaan gagal mencapai kata putus.
Perkara tersebut disahkan sendiri oleh Timbalan Presiden MAFA, Datuk Mohd Saiful Mat Sapri sambil memaklumkan kata putus itu gagal dicapai susulan kedua-dua belah pihak tidak bersetuju dengan syarat-syarat yang dibincangkan.
Oleh demikian, MAFA akan memberikan tumpuan kepada pasukan-pasukan pembangunan negeri dengan menyertai saingan Piala Presiden, Piala Belia, Futsal dan Bola Sepak Wanita.
Selain itu, Saiful turut memaklumkan MAFA memutuskan untuk memberi tumpuan kepada struktur pentadbiran, kewangan dan penajaan bagi persiapan tahun-tahun mendatang.
Semalam, Malaysian Football League (MFL) mendededahkan hanya empat buah pasukan; Perlis United FC, Imigresen FC, Harini Selangor FT dan KL Rovers memohon Lesen Luar Biasa (Extraordinary License) yang kembali dibuka pada 18 Januari lalu bagi menggantikan Kelantan FC yang ditolak permohonanan Lesen Kebangsaannya.
Bagaimanapun, daripada keempat-empat permohonan itu, hanya Perlis United diberikan ruang oleh MFL untuk melengkapkan empat lagi kriteria tambahan sebelum diberikan Lesen Luar Biasa itu sekaligus dapat menyertai saingan Liga Super 2024-25.
Manakala permohonan oleh Imigresen FC, Harini Selangor FT dan KL Rovers disahkan gagal.
Featured Image: Melaka United Soccer Association