Ketiadaan aksi pemanas badan melibatkan skuad kebangsaan menjelang pertemuan menentang Oman bagi ketiga dan keempat peringkat Kumpulan D, Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menimbulkan reaksi yang pelbagai terutamanya dalam kalangan penyokong di media sosial.
Namun begitu, bekas penyerang skuad kebangsaan, Safee Sali, 40 tahun, mempunyai dua sudut pandang yang berbeza mengenai perkara tersebut.
“Dia ada pro dan kontra, kalau (ada) perlawanan persahabatan (dan) mendatangkan kecederaan kepada pemain-pemain utama pun akan menjejaskan persiapan kita,”
“Saya rasa head coach pun dah tahu, melihat persiapan pemain macam mana keadaan, saya rasa persahabatan ini tak perlu negara-negara besar pun, persahabatan dengan kelab-kelab untuk menguji tahap ketahanan pemain kita,” katanya ketika ditemui oleh para pengamal media selepas Program Demi Rimba Kita 2024, semalam.
Untuk makluman semua, kem latihan pusat skuad kebangsaan menjelang pertemuan menentang Oman bermula pada hari ini.
Seramai 33 pemain dipanggil oleh ketua jurulatih, Kim Pan-gon dengan sebahagian besarnya terdiri daripada pemain-pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC.
Dijangka hari pertama sesi latihan pusat skuad kebangsaan pada hari ini tidak disertai oleh beberapa pemain terutamanya pemain JDT. Ini berikutan skuad berjulukan Harimau Selatan itu akan melepaskan para pemainnya pada 15 Mac – tujuh hari sebelum bertemu Oman di Muscat.
Skuad kebangsaan berjulukan Harimau Malaya dijadualkan menentang Oman di Muscat pada 21 Mac sebelum bertemu lawan yang sama di tempat sendiri pada 26 Mac kelak.
Pada ketika ini, Harimau Malaya sedang memimpin Kumpulan D dengan enam mata sambil diikuti oleh Oman di tangga kedua. Manakala Republik Kyrgyzstan dan Chinese Taipei pula menghuni tangga ketiga dan keempat masing-masing.
Featured Image: PFA Malaysia