Final Piala Malaysia 2023, JDT vs Terengganu FC Rekodkan 2.6 Juta Tontoton
March 8, 2024 Hafizuddin Omar

Pertembungan akhir Piala Malaysia 2023 melibatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC merekodkan rating 2.6 juta tontonan di semua platform milik stesen televisyen berbayar, Astro.

Dimaklumkan, rating itu bukan sahaja merupakan yang tertinggi bagi perlawanan Liga Malaysia musim lalu bahkan turut mengatasi rating bagi aksi antarabangsa yang membabitkan skuad kebangsaan, Harimau Malaya.

Angka tersebut dikongsikan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Astro, Euan Smith selepas stesen televisyen itu kembali buat julung kalinya sebagai rakan penyiar rasmi Liga Malaysia pada tahun lalu selepas sembilan tahun.

Secara keseluruhannya, Astro mencatatkan hampir 9 juta tontonan peminat yang menyaksikan siaran langsung Liga Malaysia.

Menerusi platform digitalnya iaitu Astro GO, jumlah tontonannya adalah sebanyak 106 juta minit disamping mencatatkan rating tontonan di aplikasi penstrimannya, Sooka, sebanyak 96 juta minit tontonan.

Kesinambungan daripada pencapaian itu, Astro merancang untuk menambah lagi bilangan tetamu-tetamu pakar pada musim 2024-25 dengan menjemput lebih ramai legenda-legenda bola sepak negara untuk menghangatkan lagi kemeriahan serta menambah variasi persembahan di studio Astro Arena.

Sepanjang musim lalu, Astro telah menghadirkan barisan legenda bola sepak tanah air seperti Safee Sali, Zainal Abidin Hassan, Azman Adnan, Razman Roslan dan Norshahrul Idlan Talaha atau cukup terkenal dengan panggilan Matyo.

Pada masa yang sama, Astro mahu memperkukuhkan dan meningkatkan lagi kandungan yang lebih segar dan kualiti produksi terbaik untuk peminat-peminat bola sepak tempatan sekaligus membantu meninggikan nilai komersil Liga Malaysia.

Untuk makluman semua, sepak mula Liga Malaysia 2024-25 dijadualkan berlangsung dari 10hb-12hb Mei kelak.

Komen