Venue perlawanan keempat Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 melibatkan Harimau Malaya dan Oman kekal dilangsungkan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Keputusan itu hadir selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berpuas hati dengan keadaan padang di stadium berkapasiti 87,000 tempat duduk itu.
Menerusi kenyataan media yang dikongsikan FAM pada hari ini, Setiausaha Agungnya, Datuk Noor Azman Rahman mengesahkan Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Mohd Amin telah melakukan lawatan ke SNBJ semalam.
Lawatan itu bertujuan untuk meninjau sendiri keadaan padang stadium itu selepas ianya digunakan untuk penganjuran konsert Ed Sheeran pada hujung Februari lalu.
Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Hans Isaac turut sama mengiringi delegasi lawatan daripada FAM itu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PSM, Faidz Sanusi.
Tidak ketinggalan, delegasi itu turut sama disertai ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan Gon dan barisan kejurulatihannya serta beberapa Ahli Jawatankuasa FAM.
Hasil pemeriksaan dan penilaian pada lawatan tersebut telah mendapati bahawa persediaan padang menjelang perlawanan pada 26 Mac ini adalah mengikut jadual dan kondisi rumputnya dijamin akan berada pada tahap yang terbaik untuk perlawanan itu.
Dengan pengesahan venue tersebut, tiket bagi perlawanan Malaysia menentang Oman mula dijual secara dalam talian bermula 9 Mac 2024 dengan harga tiket bagi semua kategori dikekalkan sama seperti perlawanan pertama menentang Republik Kyrgyz, November lalu.
Bagi kategori tiket Terbuka, harga yang ditetapkan adalah RM40 untuk dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak bawah 12 tahun. Manakala harga RM60 ditetapkan bagi tiket Grandstand dan RM80 bagi tiket Premium.
Untuk makluman, skuad Harimau Malaya akan memulakan kem latihan pusat pada hari ini sebagai persiapan menghadapi Oman untuk perlawanan ketiga di Muscat pada 21 Mac.
Featured Image: Football Association of Malaysia