Mannuel Ott Kembali Ke Terengganu FC – Kontrak Semusim
March 11, 2024 Hafizuddin Omar

Pemain tengah skuad kebangsaan Filipina, Manuel Ott kembali menyertai kelab lamanya iaitu Terengganu FC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2024-25.

Kedatangan semula pemain kelahiran Jerman yang berusia 31 tahun dimaklumkan secara rasmi oleh Terengganu FC menerusi pelbagai platform media sosialnya, semalam.

Dimaklumkan, Ott menandatangani kontak selama setahun serta mengisi kuota pemain import ASEAN.

Bersekali dengan makluman itu, Ott turut diberikan nombor jersi lamanya, No.8 – nombor yang disarungnya ketika bersama Terengganu FC pada tahun 2022.

Untuk makluman, Ott merupakan pemain import baharu ketiga yang diikat Terengganu FC pada jendela perpindahan kali ini selepas Ismaheel Akinade dan Matthew Steenvoorden.

Pada Sabtu lalu, Ott dan Kedah Darul Aman FC (Kedah) mengumumkan mencapai persetujuan bersama untuk berpisah.

Difahamkan persetujuan untuk berpisah itu hadir ketika kontrak Ott dan Kedah masih berbaki setahun lagi.

Sementara itu, ketua jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner menyifatkan kembalinya Ott akan menambahkan kualiti serangan skuad bimbingannya.

“Saya telah mengikuti perkembangan Manuel Ott selama 2 tahun. Apa yang saya boleh katakan, saya sememangnya inginkan pemain tengah serangan sepertinya yang bukan sahaja boleh mencorakkan gaya permainan pasukan tetapi boleh juga memberikan ancaman kepada penjaga gol lawan kerana mempunyai kelebihan untuk melepaskan rembatan jarak jauh, pandai mencari ruang di dalam kotak penalti untuk menjaringkan gol.” katanya.

Sebagai rekod, sepanjang musim lalu, Ott merekodkan 28 penampilan bersama Kedah kendalian Nafuzi Zain dan meledak enam gol serta mencetak tiga bantuan gol membantu skuad Sang Kenari meraih tangga keempat Liga Super 2023.

Featured Image: Terengganu FC

Komen