Naib juara Piala Malaysia, Terengganu FC menafikan khabar angin yang menyatakan mereka akan menandatangani kapten Harimau Malaya, Dion Cools untuk menghadapi saingan Liga Malaysia 2024-25.
Terdahulu, khabar angin mengenai kehadiran Cools ke skuad bimbingan Tomislav Steinbruckner itu bertiup kencang selepas dinyatakan oleh hos sebuah program perpindahan pemain ketika jendela perpindahan yang disiarkan sebuah televisyen berbayar, baru-baru ini.
Desas-desus itu semakin kuat apabila Terengganu FC membuat perkongsian mengenai delegasinya yang terdiri daripada pihak pengurusan melakukan lawatan ke kelab semasa pertahanan Malaysia-Belgium berusia 27 tahun berkenaan, Buriram United pada hari ini.
View this post on Instagram
Namun begitu, desas-desus itu segera terpadam apabila Terengganu FC meninggalkan satu penafian untuk menandatangani pemain tersebut di ruangan komen pada hantaran terbabit.
“Berkenaan berita yang tersebar mengenai kelab ini ingin menandatangani salah seorang pemain Buriram United, ianya adalah tidak benar. Sekian, terima kasih,” nafi pihak Terengganu FC.
Dalam hantaran itu, Terengganu FC menjelaskan lawatan mereka ke Buriram United adalah untuk membina perhubungan disamping membincangkan kerjasama yang dapat diwujudkan melibatkan kedua-dua kelab.
Selain itu, mereka turut ke sana untuk “belajar” daripada kelab gergasi Liga 1 Thai itu mengenai pentadbiran kelab, pengurusan pemasaran dan perniagaan kelab serta konsep pembangunan bola sepak yang dijalankan.
Featured Image: Buriram United