Pasukan yang menamatkan saingan Liga Super musim lalu di tangga ke-12, Kelantan United FC akan menggunakan nama baharu bagi musim 2024-25.
Menerusi makluman di pelbagai platform media sosialnya pada hari ini, kelab yang berpangkalan di pantai timur semenanjung itu dijenamakan menjadi Kelantan Darul Naim FC (KDN FC).
Bukan itu sahaja, mereka turut membuat kemaskini minoriti terhadap logonya dengan mengubah warna kijang kepada warna keemasan serta membuang warna hijau pada perisainya.
Penjenamaan semula dan logo baharu itu dipersembahkan mereka menerusi video berdurasi 64 saat.
View this post on Instagram
“Pada hari ini, 1 Ramadhan 1445H, 12 Mac 2024, secara rasminya, kami menjenamakan semula nama dan logo Kelantan United FC kepada Kelantan Darul Naim FC.”
“Selepas ini, nama dan logo Kelantan Darul Naim FC akan digunakan dalam semua urusan rasmi kelab termasuk perlawanan Liga Malaysia bagi musim 2024-25.” tulis kapsyen pada muat naik video berkenaan.
Sebagai rekod, ini merupakan kali kedua pasukan ini melakukan perubahan terhadap namanya.
Untuk makluman, sebelum ianya dijenamakan kepada Kelantan United FC (KUFC) pasukan ini menggunakan nama Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam Urusetia Belia dan Sukan Negeri Kelantan atau singkatannya, MPKB-BRI Ubes FC.