All England 2024: Soon Huat-Shevon, Kian Meng-Pei Jing Lepasi Pusingan 32
March 13, 2024 Hafizuddin Omar

Dua beregu campuran negara yang turun beraksi pada hari pertama Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England (All England) 2024 berjaya melepasi cabaran di pusingan 32 sekaligus melakar kemaraan ke pusingan 16.

Pasangan beregu campuran No.3 negara, Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing terlebih dahulu mengesahkan tempat ke pusingan 16 setelah berhasil menumpaskan wakil Perancis yang menghuni ranking ke-13 dunia, Thom Gicquel dan Delphine Delrue.

Pertarungan sengit itu berjaya dimenangi oleh Kian Meng-Pei Jing menerusi tiga set permainan yang berakhir dengan skor 12-21, 21-19 dan 21-14 dalam tempoh masa melebihi satu jam.

Menanti Kian Meng-Pei Jing pada pusingan berikut adalah beregu Hong Kong yang diletakkan sebagai pilihan kelapan kejohanan, Tang Chun Man dan Tse Ying Suet.

Tidak lama kemudian, beregu campuran No.2 negara, Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai turut sama mengikuti jejak langkah itu setelah berhasil menumpaskan lawan mereka, Chang Ko-Chi dan Lee Chih Chen pada pusingan 32.

Pertembungan itu dimenangi oleh Soon Huat-Shevon secara “straight set” menerusi skor 21-17 dan 26-24 dalam tempoh masa 43 minit.

Pada pusingan 16 nanti, Soon Huat-Shevon akan menantikan cabaran samada daripada pilihan keempat kejohanan dari China, Feng Yan Zhe dan Huang Dong Ping atau beregu Australia, Kenneth Zhe Hooi Choo dan Gronya Sommerville.

Sementara itu, nasib sepasang lagi beregu campuran negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei akan diketahui pada malam nanti (waktu Malaysia) selepas bertemu beregu Thailand, Dechapol Puavaranukroh dan Sapsiree Taerattanachai.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen