Orleans Masters: Empat Wakil Malaysia Ke Pusingan 16
March 14, 2024 Hafizuddin Omar

Tatkala kebanyakan tumpuan para peminat badminton terarah kepada Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England (All England) 2024, sebuah lagi kejohanan turut sama berlangsung di bumi eropah iaitu Orleans Masters 2024.

Kejohanan Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 300 ini disertai seramai lapan wakil Malaysia dan perkembangan terbaru menyaksikan empat wakil berhasil meneruskan langkah ke pusingan 16.

Wakil pertama yang mengesahkan tempat ke pusingan 16 adalah Choong Hong Jian dan Muhammad Haikal yang berhasil mengalahkan rakan senegara, Lwi Sheng Hao dan Jimmy Wong menerusi skor 21-16, 20-22 dan 21-11 pada Selasa lalu.

Ianya diikuti oleh Hoo Pang Ron dan Cheng Su Yin yang berjaya menumpaskan wakil Jerman, Jones Ralfy Jansen dan Thuc Phuong Nguyen secara “straight set” menerusi skor 22-20 dan 21-12, semalam.

Selepas itu, perseorangan lelaki bebas (independent) negara, Cheam June Wei mengikuti jejak langkah yang sama apabila menewaskan pemain Israel, Misha Zilberman secara “straight set” menerusi skor 21-13 dan 21-13.

Akhir sekali, Low Hang Yee dan Ng Eng Cheong melengkapkan senarai empat wakil negara ke pusingan 16 setelah menumpaskan wakil Sepanyol, Ruben Garcia dan Carlos Piris.

Hang Yee-Eng Cheong mara selepas meraih kemenangan menerusi skor 12-23, 21-15 dan 21-15.

Sementara itu empat lagi wakil negara yang terdiri daripada Sheng Hao-Jimmy Wong, Owen Ting Shih Wee-Gan Jing Err, Chan Peng Soon-Cheah Yee See dan Leong Jun Hao terkandas di pusingan 32 selepas tewas kepada lawan masing-masing.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen