Orleans Masters: 3 Wakil Malaysia Mara Ke Suku Akhir
March 15, 2024 Hafizuddin Omar

Seramai tiga wakil Malaysia berjaya menempatkan diri ke peringkat suku akhir dalam saingan Orleans Masters 2024 – Jelajah Dunia BWF Super 300.

Tiga wakil itu terdiri daripada perseorangan lelaki, Cheam June Wei; beregu lelaki, Choong Hon Jian dan Muhammad Haikal serta beregu campuran, Hoo Pang Ron dan Cheng Su Yin.

June Wei yang kini berada di ranking ke-62 dunia mara selepas berjaya menumpaskan lawannya dari Republik Korea, Jeon Hyeok Jin secara “straight set” menerusi skor 21-18 dan 27-25 pada pusingan 16, malam tadi (waktu Malaysia). 

Kemenangan itu membawanya bertemu pemain Jepun yang menghuni ranking ke-70 dunia, Koo Takahashi pada peringkat suku akhir untuk merebut tiket ke separuh akhir.

Seterusnya, Hon Jian-Haikal pula mara selepas menundukkan beregu Denmark yang berada pada ranking ke-69 dunia, William Boe dan Christian Kjaer juga secara “straight set” menerusi skor 21-15 dan 21-18.

Menanti mereka di pusingan seterusnya adalah gandingan China, Huang Di dan Liu Yi.

Melengkapi kemaraan wakil Malaysia di kejohanan ini adalah beregu campuran, Pang Ron-Su Yin yang berjaya menyingkirkan beregu tuan rumah, Julien Maio dan Lea Palermo.

Pang Ron-Su Yin yang berada di tangga ke-83 dunia turut menumpaskan mereka secara “straight set” menerusi skor 21-16 dan 21-18 dalam tempoh masa sekitar setengah jam.

Bagi perlawanan seterusnya, Pang Ron-Su Yi akan bertemu gandingan Chinese Taipei yang berada pada ranking ke-60 dunia, Chen Cheng Kuan dan Chen Sheng Fa.

Sementara itu, satu lagi wakil Malaysia iaitu beregu lelaki, Low Hang Yee dan Ng Eng Cheong terpaksa akur tersingkir daripada saingan ini apabila tewas di tangan beregu Chinese Taipei, Chen Zhi Ray dan Lin Yu Chieh.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen