Artikel

Bekas Ketua Jurulatih JDT, Esteban Solari Kini Pengendali Everton

Individu yang membantu Johor Darul Ta’zim (JDT) menjuarai empat trofi pada musim lalu, Esteban Solari tidak lagi “menganggur”.

Selepas dilepaskan oleh JDT pada penghujung tahun lalu atas alas ingin mengurangkan perbelanjaan kelab, Solari, kelahiran Argentina, berusia 43 tahun, telah mendapat pekerjaan baharu.

Sebuah kelab bola sepak yang berpangkalan di Vina del Mar, Chile iaitu Everton mengumumkan mengikat Solari sebagai ketua jurulatih baharunya.

Pengumuman itu hadir menerusi satu kenyataan rasmi serta video pengenalan Solari dikongsikan di pelbagai platform media sosial kelab berkenaan.

Penyertaan Solari turut disertai Emerson Panigutti selaku penolong jurulatih serta dua individu yang pernah berkhidmat bersamanya di JDT iaitu Rodrido Barrios (jurulatih kecergasan) dan Matias Navarro Garcia (penganalisis).

Pada saat ini, kelab berkenaan sedang berada pada tangga kesembilan liga hasil daripada mencatatkan satu kemenangan dan satu seri daripada empat perlawanan yang telah diharungi pada musim ini.

Perlawanan pertama yang akan dikendalikan oleh Solari adalah menentang Nublense – penghuni tangga kelima liga.

Untuk makluman, kehadiran Solari adalah untuk mengisi kekosongan kerusi ketua jurulatih Everton yang ditinggalkan, Francisco Meneghini ekoran dipecat pada Isnin lalu.

komen