Kisah jurulatih bola sepak, Jose Mourinho yang menghadirkan kejuaraan Liga Juara-Juara UEFA kepada Porto dan Inter Milan serta pelbagai kejuaraan buat beberapa kelab yang pernah dibimbingnya akan ditayangkan oleh Netflix pada tahun 2025.
Perkembangan itu disahkan sendiri oleh Netflix Portugal menerusi satu hantaran di akaun Instagram rasminya pada hari ini.
Berdasarkan pelbagai laporan media eropah, kisah itu akan diterbitkan dalam bentuk dokumentari bersiri seumpama dokumentari mengenai David Beckham yang disiarkan oleh Netflix bermula Oktober tahun lalu.
Siri dokumentari terbabit akan memuatkan sesi temu bual bersamanya dimana beliau akan berkongsikan kisah-kisah yang tidak pernah didedahkannya secara terperinci sebelum ini sepanjang kariernya kepada umum.
View this post on Instagram
Bayangan mengenai perkara itu pernah dikongsikan sendiri oleh Mourinho pada awal Januari lalu melibatkan tawaran daripada Portugal dan Arab Saudi yang hadir kepadanya ketika masih bergelar pengurus AS Roma.
Tidak ketinggalan, dokumentari itu akan memuatkan juga temu bual bersama beberapa pemain yang pernah dibimbingnya.
Pada ketika ini, Mourinho tidak mengendalikan mana-mana pasukan setelah berpisah dengan AS Roma pertengahan Januari lalu.
Sebagai rekod, Mourinho mula menjadi pengurus pasukan bermula tahun 2000 bersama Benfice sebelum berhijrah ke Leira, Porto, Chelsea, Inter Milan, Real Madrid, Chelsea, Manchester United, Tottenham Hotspur dan AS Roma.
Featured Image: Netflix Portugal