All England 2024: Zii Jia Gagal Ke Separuh Akhir
March 16, 2024 Hafizuddin Omar

Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia julung kalinya gagal menjejaki peringkat separuh akhir dalam Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England (All England).

Kegagalan untuk melangkah ke peringkat itu pada edisi tahun ini hadir selepas pemain yang menghuni ranking kesepuluh dunia terbabit tewas di tangan pemain No.2 India, Lakshya Sen, awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Pertarungan tersebut menyaksikan Zii Jia tewas menerusi tiga set permainan berskor 22-20, 16-21 dan 19-21 yang berlanjutan sehingga satu jam dan sebelas minit lamanya.

Keputusan itu sekaligus menoktahkan kempennya dalam saingan Jelajah Dunia BWF Super 1000 yang berlangsung di Utilita Arena Birmingham, England.

Pada masa yang sama, keputusan itu juga mencalarkan lagi rekod pertemuannya menentang Sen di pentas antarabangsa dengan empat kekalahan daripada lima pertemuan.

Sebagai rekod, Zii Jia tidak pernah gagal melakar kemaraan sekurang-kurangnya ke peringkat separuh akhir dalam kejohanan All England sejak membuat kemunculan yang pertama pada edisi 2020.

Manakala saingan All England edisi 2021 menjadi detik manis dalam kariernya apabila berjaya muncul juara setelah menumpaskan pemain Denmark, Viktor Axelsen.

Sementara itu, Sen yang berhasil meraih kemaraan ke peringkat separuh akhir edisi kali ini akan berhadapan cabaran daripada pemain Indonesia, Jonatan Christie untuk merebut tiket ke perlawanan akhir.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen