Beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik menjadi wakil tunggal dari Malaysia yang menjejakkan kaki di peringkat separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England (All England) 2024.
Gandingan pemain berusia 27 dan 26 tahun masing-masing itu merealisasikan langkah berkenaan selepas berjaya menumpaskan Bagas Maulana dan Muhammad Shohibul Fikri pada suku akhir awal pagi tadi (waktu Malaysia).
Lebih bergaya, Aaron-Wooi Yik melakar kemenangan ke atas gandingan Indonesia yang muncul juara All England edisi 2022 itu secara “straight set” menerusi skor 21-14 dan 21-11 dalam tempoh sekitar setengah jam sahaja.
Keputusan itu bukan sahaja menghantar Aaron-Wooi Yik ke peringkat separuh akhir kejohanan Jelajah Dunia BWF Super 1000 bahkan melebarkan rekod pertemuan kepada lima kemenangan berturut-turut apabila berentap di pentas antarabangsa.
Sementara itu, di peringkat separuh akhir kelak, Aaron-Wooi Yik akan bertemu gandingan Chinese Taipei yang menghuni ranking ke-16 dunia, Lee Jhe-huei dan Yang Po-hsuan.
Meneliti kepada rekod pertemuan melibatkan kedua-dua pasangan ini, Aaron-Wooi Yik belum merekodkan sebarang kekalahan apabila bertemu Jhe-huei dan Po-hsuan setakat ini.
Dalam perkembangan yang lain, dua lagi wakil Malaysia iaitu gandingan Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan serta perseorangan lelaki, Lee Zii Jia terpaksa akur kandas di peringkat suku akhir susulan tewas kepada lawan masing-masing.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia