Haikal-Hon Jian Muncul Juara Orleans Masters 2024
March 18, 2024 Hafizuddin Omar

Beregu lelaki negara, Muhammad Haikal dan Choong Hon Jian berjaya merangkul kejuaraan Orleans Masters 2024 – sebuah kejohanan Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 300.

Kejuaraan itu menjadi milik gandingan pemain berusia 21 dan 23 tahun masing-masing terbabit selepas berhasil menumpaskan beregu Indonesia yang menghuni ranking ke-49 dunia, Sabar Karyaman Gutama dan Reza Pahlevi Isfahani dalam perlawanan akhir, sebentar tadi.

Pertembungan yang berlangsung di Palais des Sports itu menyaksikan Haikal-Hon Jian meraih kemenangan menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 21-15, 18-21 dan 21-14.

Pertembungan sulung melibatkan kedua-dua beregu ini di kejohanan antarabangsa kelolaan BWF turut memakan masa hampir satu jam lamanya sebelum Haikal-Hon Jian muncul selaku pemenangnya.

Susulan merangkul kejuaraan di pertandingan ini, Haikal-Hon Jian dapat meraih ganjaran wang tunai bernilai AS$16,590 bersamaan sekitar RM78,047.66.

Selain itu, Haikal-Hon Jian turut sama meraih sebanyak 7,000 mata untuk dimasukkan ke dalam pelbagai pengiraan ranking oleh BWF.

Untuk makluman semua, ini merupakan kejuaraan ketiga dirangkul oleh Haikal-Hon Jian selepas menjuarai saingan Guwahati Masters 2023 dan Cabaran Antarabangsa Syed Modi 2023 sejak bergandingan bersama bermula Ogos tahun lalu.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen