Pemain tengah menyerang lincah yang berketinggian 1.56 meter (m), Faiz Nasir kembali bersatu dengan bekas jurulatihnya iaitu Nafuzi Zain untuk menghadapi saingan Liga Malaysia 2024-25.
Penyatuan itu kembali selepas Faiz yang dijuluki sebagai Messi dek kerana kepakarannya menggelecek bola menyertai Kedah Darul Aman FC (Kedah) kendalian Coach Nafuzi – yang dahulunya membimbingnya di Terengganu FC.
Penyertaan Faiz yang kini berusia 32 tahun itu diumumkan secara rasmi oleh skuad berjulukan Sang Kenari menerusi makluman di pelbagai platform media sosialnya, semalam.
Difahamkan, Faiz menyertai Kedah dengan kontrak secara pinjaman daripada Terengganu FC.
View this post on Instagram
“Saya gembira untuk menabur bakti bersama Kedah dan dengan coach Nafuzi Zain,
“Di sini saya lebih selesa untuk beraksi walaupun kalangan rakan sepasukan dan suasana baharu di Kedah.
“Saya mahu kembali ke puncak prestasi membantu Kedah kekal sebagai pasukan antara yang terbaik di Malaysia.” kata Faiz selepas diperkenalkan sebagai pemain baharu Kedah.
Menariknya, disebalik penyertaan Faiz bersama Kedah, pemain kelahiran Kelantan ini mendedahkan Kedah sudah pernah menginginkan khidmatnya suatu masa dahulu.
Lamaran dari Kedah itu hadir ketika dia beraksi bersama PBAPP FC dalam saingan Liga Premier.
Sebagai rekod, Faiz menjadi pemain tempatan baharu yang keenam diikat Kedah kendalian Nafuzi selepas membawa masuk Afeeq Iqmal, Irfan Zakaria, Zamri Pin, Rizal Ghazali dan Syafiq Ahmad.
Featured Image: Kedah Darul Aman FC