Rezal Zambery Yahya yang pernah membimbing Kelantan FC dalam saingan Liga Premier 2022 kini dilantik sebagai penolong ketua jurulatih Kelantan Darul Naim FC (KDN FC).
Perlantikan individu berusia 45 tahun terbabit bagi mengharungi saingan Liga Malaysia 2024-25 diumumkan secara rasmi oleh KDN FC menerusi pelbagai platform media sosialnya, semalam.
Perlantikan Rezal bersama skuad berjulukan Sang Kijang Emas itu disusuli dengan pengumuman Ashadi Mohd Yusoff selaku penolong jurulatih, Abdul Rahman Baba sebagai jurulatih penjaga gol, Mohd Fazrul Jafar selaku jurulatih kecergasan dan Muhammad Shahrul Ridzuan serta Wan Mohd Najib sebagai ‘kitman’.
Bagaimanapun, ketua jurulatih KDN FC masih tidak didedahkan lagi kepada umum.
View this post on Instagram
“Kehadiran dia tepat dengan masanya kerana kita yakin dia mampu membantu Kelantan Darul Naim FC membangunkan pemain muda untuk bersaing hebat seperti mana dilakukan dengan pasukan sebelum ini.”
“Dengan Kelantan Darul Naim FC juga mempertaruhkan bakat muda tempatan serta import berpengalaman, inshaAllah padanan Rezal bersama jurulatih yang telah kita ambil akan membolehkan Sang Kijang Emas memberi cabaran hebat.”
“Kita juga percaya gandingan ketua jurulatih yang dibawa masuk dan Rezal akan meletakkan kita dalam landasan yang sebenar sekaligus menaikkan nama Kelantan Darul Naim FC pada saingan Liga Malaysia musim 2024/25.” kata Presiden KDN FC, YB Rozi Muhamad.
Untuk makluman, hubungan Rezal dan KDN FC (dahulunya dikenali sebagai Kelantan United FC) bukanlah sesuatu yang baharu.
Sebelum ini Rezal telah bersama KDN FC dengan menjawat jawatan Pengarah Pembangunan Akar Umbi setelah meninggalkan Kelantan FC sekitar awal Julai tahun lalu.
Sebagai rekod, KDN FC menggunakan khidmat Tomas Trucha dari Republik Czech dan Ailton Silva dari Brazil sepanjang musim 2023.
Featured Image: Kelantan Darul Naim FC