Terbuka Swiss: Kelima-Lima Beregu Lelaki Mara Ke Pusingan 16
March 20, 2024 Hafizuddin Omar

Kelima-lima beregu lelaki negara yang beraksi pada hari pertama Terbuka Swiss 2024 berjaya melepasi cabaran pada pusingan 32 sekaligus menempah tiket ke pusingan 16.

Langkah kanan kesemua beregu lelaki negara itu dimulakan dengan Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin yang merekodkan kemenangan ke atas beregu Kanada, Adam Dong dan Nyl Yakura secara “straight set” menerusi skor 22-20 dan 21-18.

Jejak itu diikuti pula oleh Man Wei Chong dan Tee Kai Wun merangkap pilihan keenam kejohanan dengan mencatatkan kemenangan ke atas gandingan Chinese Taipei, Lee Fang-Chih dan Lee Fang-Jen menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 20-22, 21-11 dan 21-19.

Turut sama menyertai menyertai kemaraan ke pusingan 16 bagi kejohanan Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 300 ini ialah Arif Junaidi dan Yap Roy King. 

Ianya susulan Arif-Roy King merekodkan kemenangan ke atas beregu Denmark, Andreas Sondergaard dan Jesper Toft secara “straight set” menerusi skor 21-19 dan 21-18.

Kemudiannya, Low Hang Yee dan Ng Eng Cheong juga melakar kemaraan yang sama apabila meraih kemenangan ke atas beregu Mexico, Job Castillo dan Luis Armando Montoya Navarro secara “straight set” dengan pungutan mata 21-8 dan 21-18.

Akhir sekali, beregu negara yang masih segar dengan kejayaan merangkul kejuaraan Orleans Masters 2024, Muhammad Haikal dan Choong Hon Jian tidak ketinggalan melengkapkan episod kemaraan beregu-beregu negara apabila menang ke atas beregu Algeria, Koceila Mammeri dan Youcef Sabri Medel secara “straight set” dengan skor 21-14 dan 21-10.

Bagaimanapun, satu lagi wakil negara yang beraksi pada pusingan 32, semalam, Cheam June Wei gagal melayakkan diri ke pusingan 16 ekoran terpaksa memberhentikan permainannya pada set kedua ekoran kecederaan.

Sementara itu, baki tujuh lagi wakil negara iaitu Lee Zii Jia, Leong Jun Hao, Yap Roy King-Valeree Siow, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin, Chan Peng Soon-Cheah Yee See serta Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai akan beraksi pada hari ini.

Komen