Kejayaan Muhammad Haikal dan Choong Hon Jian merangkul kejuaraan Orleans Masters 2024 membawa mereka menghampiri kelompok 30 beregu lelaki terbaik dunia.
Menerusi kemaskini terbaru oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Haikal-Hon Jian yang berusia 21 dan 23 tahun masing-masing itu dilihat berada pada ranking ke-32 dunia pada saat ini.
Kejuaraan di Orleans Masters pada Ahad lalu telah memberikan mereka tambahan sebanyak 7,000 mata sekaligus mencetuskan lonjakan sebanyak lapan anak tangga.
Pada masa yang sama, Haikal-Hon Jian kekal sebagai beregu lelaki kelima negara.
Sementara itu, kedudukan empat beregu lelaki negara utama tidak mengalam sebarang perubahan selepas kemaskini terbabit.
Aaron Chia dan Soh Wooi Yik yang muncul naib juara Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England (All England) 2024 kekal di tangga kelima dunia.
Sementara itu, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin kekal di tangga ke-12, ke-18 dan ke-19 dunia masing-masing.
Featured Image: Instagram Haikal Nazri