Pulau legenda iaitu Pulau Langkawi kembali disenaraikan dalam laluan perlumbaan berbasikal jalan raya pelbagai peringkat iaitu Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024.
Lebih menarik, perlumbaan berprestij yang memasuki edisi ke-28 itu buat julung kalinya menyertakan laluan di negeri Sarawak.
Perkembangan mengenai penyertaan semula Pulau Langkawi dan negeri Sarawak itu dikongsikan ketika pelancarannya baru-baru ini.
Untuk makluman, edisi kali ini mengekalkan lapan peringkat perlumbaan dengan jumlah jarak kayuhan sejauh 1,191.1 kilometer (km).
Kesemua lapan peringkat perlumbaan terbabit adalah seperti berikut:
- Peringkat 1: Kuah ke Kuah (96.5km)
- Peringkat 2: Arau ke Butterworth (154.5km)
- Peringkat 3: Taiping ke Cameron Highland (170.3km)
- Peringkat 4: Kuala Kubu Bharu ke Genting Highlands (112.8km)
- Peringkat 5: Kuala Lumpur ke Melaka (167.3km)
- Peringkat 6: Batu Pahat ke Kulai (123.6km)
- Peringkat 7: Miri ke Bintulu (199.3km)
- Peringkat 8: Bintulu ke Bintulu (166.8km)
Secara keseluruhannya, sebanyak 11 negeri akan terlibat menjadi hos pelepasan dan penamat kecuali Terengganu, Kelantan dan Sabah.
Perlumbaan LTdL 2024 adalah berstatus Pro Series oleh UCI dan ianya menemui para peminatnya bermula dari 29 September hingga 6 Oktober kelak.
Pada masa yang sama, tema perlumbaan “Beat The Heat” turut dikekalkan oleh penganjur selain Petronas selaku penaja penamaan (title sponsor).
Turut sama dikongsikan oleh penganjur, edisi LTdL kali ini akan diwarnai oleh tiga buah pasukan berbasikal negara iaitu Pasukan Berbasikal Lebuhraya Kebangsaan, Terengganu Cycling Team (TSG) dan Malaysia Professional Cycling (MPC).