Hanya 13 Kelab Sertai Liga Super 2024-25, Perlis United Gagal Dapat Lesen Luar Biasa
March 20, 2024 Hafizuddin Omar

Saingan Liga Super 2024-25 yang akan membuka tirainya pada 10-12 Mei kelak akan ditandingi sebanyak 13 buah kelab sahaja.

Kelab-kelab tersebut ialah Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor, Sabah, Kedah Darul Aman, Sri Pahang, Terengganu, Kuala Lumpur City, PDRM, Negeri Sembilan, Penang, Perak, Kelantan Darul Naim dan Kuching City.

Pengesahan ini hadir selepas First Instance Body (FIB) membuat keputusan tidak memberikan Lesen Luar Biasa (Extraordinary License) kepada Perlis United FC (PUFC) berikutan kegagalan memenuhi syarat-syarat tambahan selepas yang ditetapkan.

Antaranya bukti dan yang diterima dalam akaun PUFC berjumlah RM5,000,000 seperti dalam cek dikemukakan pada 9 Mac, pengisytiharan yang ditandatangani oleh pegawai dan pemain bahawa tiada hutang tertunggak pada 31 Disember 2023, bukti perjanjian yang dicop antara PUFC dan setiap satu daripada empat penaja berpotensi serta pembayaran dana tajaan pertama yang diterima PUFC daripada salah satu daripada empat penaja berpotensi.

Walaupun tarikh akhir penyerahan pada 22 Mac 2024 masih belum berakhir namun FIB mengesahkan bahawa PUFC telah gagal 3 daripada 4 syarat awal itu dengan tidak mengemukakan sebarang dokumen seperti yang diminta dan telah melanggar semua tarikh akhir yang diberikan.” tulis kenyataan oleh Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nassir seperti dikongsikan oleh Malaysian Football League (MFL).

“Oleh itu, FIB telah memutuskan untuk tidak memberikan lesen Liga Super 2024-2025 kepada PUFC.” tambahnya.

“FIB mengekalkan syarat ketatnya demi untuk menjaga kestabilan kewangan liga dan kelab-kelab serta proses usaha wajar kewangan ini dilaksanakan dengan teliti untuk memastikan Liga Malaysia tidak menghadapi kebimbangan kewangan sekiranya PUFC dibenarkan bertanding.” ujarnya lagi.

Sebagai rekod, pada 7 Mac lalu, MFL mengumumkan PUFC diarahkan untuk memenuhi syarat tambahan untuk layak menerima Lesen Luar Biasa yang bersyarat bagi mengisi slot ke-14 untuk menyertai Liga Super 2024-25.

PUFC diarahkan untuk memenuhi syarat tambahan itu berikutan memiliki dokumen lebih kukuh berdasarkan semakan dan penilaian teliti dengan salinan surat penajaan berjumlah RM25 juta daripada empat penaja berpotensi iaitu Mudim Zakaria Food Industries Sdn Bhd, Ivory Properties Group Berhad, M.A Intelligent Holdings Sdn Bhd dan Al Razi Holding (M) Sdn Bhd.

PUFC turut telah mengemukakan salinan cek berjumlah RM5 juta daripada salah satu penaja tersebut sebagai bukti dana kewangan pasukan.

Selain itu, kelab berkenaan juga menyerahkan surat sokongan daripada kerajaan negeri Perlis yang ditandatangani oleh Menteri Besar, YAB Tn Mohd Shukri Ramli serta surat sokongan daripada Persatuan Bolasepak Perlis (PFA).

Susulan itu, Ahli Lembaga Pengarah MFL memutuskan PUFC hanya akan diberikan Lesen Bersyarat Luar Biasa dengan mematuhi beberapa keperluan dan kriteria yang ditetapkan oleh FIB susulan janji dan jaminan yang diberikan kepada FIB daripada pegawai-pegawai PUFC semasa pembentangan mereka.

Sebagai tambahan, selain PUFC, tiga buah kelab lain yang turut memohon Lesen Luar Biasa ialah Imigresen FC, KL Rovers FC dan Harini Selangor FT. Namun, ketiga-tiga permohonan itu ditolak oleh FIB.

Komen