Terbuka Swiss: Tiga Beregu Campuran Mara Ke Pusingan 16
March 21, 2024 Hafizuddin Omar

Hanya tiga daripada lima beregu campuran negara berhasil melayakkan diri ke pusingan 16 dalam saingan Terbuka Swiss 2024.

Pertamanya, beregu campuran No.1 negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei melakar kemaraan selepas berjaya menundukkan gandingan Singapura, Terry Hee Yong Kai dan Jessica Tan Wei Han.

Pertarungan sengit yang menghampiri satu jam lamanya itu dimenangi Tang Jie-Ee Wei menerusi tiga set permainan yang berskor 21-12, 19-21 dan 21-15.

Kemenangan itu membawa Tang Jie-Ee Wei yang diletakkan sebagai pilihan ketiga kejohanan bertemu beregi India, Sathish Kumar Karunakaran dan Aadya Variyath.

Selepas itu, beregu No.2 negara, Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai mengikuti jejak langkah yang sama apabila berjaya mengalahkan beregu Australia, Kenneth Zhe Hooi Choo dan Gronya Somerville.

Soon Huat-Shevon yang diletakkan sebagai pilihan kelapan mengalahkan gandingan tersebut secara “straight set” menerusi skor 21-19 dan 21-16 dalam tempoh 33 minit.

Pada peringkat seterusnya, Soon Huat-Shevon akan bertemu beregu campuran No.5 Jepun, Hiroki Nishi dan Akari Sato.

Akhir sekali, Chan Peng Soon dan Cheah Yee See melengkapkan kemaraan tiga beregu campuran negara ke pusingan seterusnya dengan menewaskan rakan senegara, Hoo Pang Ron dan Cheng Su Yin.

Perlawanan itu dimenangi oleh Peng Soon-Yee See secara “straight set” 21-17 dan 21-16 dalam tempoh 40 minit permainan.

Menantinya di pusingan 16 adalah beregu Jepun yang diletakkan sebagai pilihan kelima kejohanan, Hiroki Midorikawa dan Natsu Saito.

Sementara itu, sepasang lagi beregu campuran negara, Yap Roy King dan Valeree Siow terpaksa akur terkandas susulan tumpas di tangan beregu India, Sathish Kumar Karunakaran dan Aadya Variyath.

Featured Image: Perodua Malaysia Masters 2023

Komen