Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh mencadangkan kos penganjuran Sukan Komanwel 2026 tidak melebihi £100 juta (~RM603 juta) sekiranya kerajaan Malaysia bersetuju menerima tawaran untuk menjadi tuan rumah bagi temasya berkenaan.
Kos yang dinyatakan itu merupakan bantuan kewangan yang hadir bersama-sama dengan tawaran daripada Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) sekiranya bersetuju untuk menjadi tuan rumah bagi temasya sukan ketiga terbesar dunia tersebut.
Cadangan tersebut dinyatakan Hannah ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Alor Setar, YB Afnan Hamimi Taib berhubung pendirian kerajaan terhadap tawaran buat Malaysia untuk menjadi tuan rumah selepas Victoria, Australia menarik diri.
“Pertama, KBS (Kementerian Belia dan Sukan) sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan nombor satu, tidak akan sama sekali membazirkan wang pembayar cukai jika pun bersedia untuk menganjurkannya,”
“Kita akan memastikan pendekatan konservatif diambil setiap kali ianya melibatkan wang rakyat,”
“Jika kerajaan bersetuju melaksanakannya, KBS mencadangkan perbelanjaan tidak melebihi geran yang diberikan oleh CGF,”
“Mengambil kira wang pembayar cukai iaitu wang rakyat jika terpaksa digunakan mungkin pilihan terbaik yang akan diambil oleh kerajaan ialah untuk tidak menganjurkannya,” jawabnya yang juga merupakan Ahli Parlimen Segambut di dalam Dewan Rakyat, pagi tadi.
View this post on Instagram
Pada masa yang sama, Hannah menerusi KBS bersedia melantik badan pengawal bagi membuat audit kepada akaun penganjuran sekiranya Malaysia menganjurkan Sukan Komanwel buat kali kedua.
“Ini mengambil kira semua feedback (maklum balas) yang kita telah teliti sejak minggu lepas (melibatkan) semua berita, pandangan Olimpian, pandangan tokoh-tokoh dulu yang mengajurkan, semua memberi pandangan mereka dan kita telah membaca,”
“Paling utama, kementerian mahu memastikan tata kelola yang betul diikuti, pengurusan kewangan yang telus, segala kos dan belanja direkodkan dengan teratur supaya akaun penganjuran boleh ditutup dengan pantas dan baik,” tambahnya lagi.
Untuk makluman, keputusan samada Malaysia akan merima tawaran untuk menganjurkan Sukan Komanwel buat kali kedua akan diketahui selepas Jemaah Menteri bermesyuarat pada hari esok (Jumaat).
Tawaran daripada CGF buat Malaysia untuk menjadi hos Sukan Komanwel 2026 yang akan melibatkan 74 buah negara-negara komanwel dimaklumkan oleh Presiden Persatuan Sukan Komanwel (CGA) Malaysia, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria menerusi siaran akhbar pada minggu lalu.
Sebagai rekod, Malaysia pernah menjadi tuan rumah Sukan Komanwel pada tahun 1998.
Featured Image: Facebook Hannah Yeoh