Artikel

Sabah FC Sasar ‘Top 5’ Liga Super 2024-25

Pasukan yang berpangkalan di kepulauan Borneo, Sabah FC menyasarkan untuk menamatkan saingan Liga Super 2024-25 dalam kelompok lima terbaik.

Sasaran tersebut ditetapkan sendiri oleh ketua jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee menerusi satu kenyataan media yang dikongsikan oleh pihak kelab pada hari ini.

“Kita lihat sasaran ini sangat positif serta berharap Sabah FC mampu melakukannya sekali gus cuba memperbaiki kelemahan daripada musim liga yang lalu,” jelas Kim Swee.

Di dalam kenyataan yang sama, Kim Swee turut mengesahkan skuad berjulukan Sang Badak akan menggunakan pemain import yang sama bagi musim baharu kelak.

Ini bermakna Ramon Machado, Park Tae-su, Saddil Ramdani, Gabriel Peres, Miguel Cifuentes dan Telmo Castanheira dapat dilihat terus menyarung jersi Sabah pada musim berikutnya kelak.

Pada masa yang sama, Kim Swee mengesahkan terdapat seorang pemain dari luar negara sedang menyertai sesi latihan pramusim bersama Sabah FC iaitu Haris Stamboulidis.

Bagaimanapun, Kim Swee masih meneliti prestasi dan keupayaan sebenar pemain tengah berusia 27 tahun kelahiran Australia terbabit.

“Kita mengesahkan pemain ini sudah bersama-sama kita dan apa yang saya lihat prestasinya cukup positif dan ini akan kita umumkan dalam masa terdekat sama ada akan menandatangani pemain baharu ini atau pun tidak.” jelasnya.

Untuk makluman, selain Haris, pemain-pemain sedia ada juga telah melaporkan diri untuk menyertai sesi latihan terbabit kecuali pemain-pemain yang mempunyai tugasan bersama skuad kebangsaan.

Sebagai persiapan untuk menghadapi saingan musim baharu, Kim Swee merancang untuk mengadakan beberapa perlawanan persahabatan termasuk menganjurkan perlawanan jemputan bagi menguji keserasian dalam kalangan pemain sedia ada.

Ini termasuklah menyertai saingan Piala SMJ yang dijadualkan berlangsung pada April dan Mei kelak. 

Featured Image: Sabah Football Club

komen