Hanya empat wakil negara berjaya meneruskan langkah ke peringkat suku akhir Terbuka Swiss 2024 – Jelajah Dunia BWF Super 300.
Wakil-wakil negara tersebut terdiri daripada dua beregu lelaki dan dua beregu campuran.
Pertamanya, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang diletakkan selaku pilihan keenam melakar kemaraan selepas menumpaskan beregu senegara, Arif Junaidi dan Yap Roy King secara “straight set” menerusi skor 21-10 dan 21-11.
Kemenangan itu membawa mereka bertemu beregu Indonesia yang menghuni rangking ke-13 dunia, Leo Rolly Carnando dan Daniel Marthin untuk merebut tiket ke peringkat separuh akhir.
Seterusnya, langkah kemaraan itu diikuti oleh Muhammad Haikal dan Choong Hon Jian selepas berhasil menumpaskan beregu Thailand, Pharanyu Kaosamaang dan Worrapol Thingsa Nga secara “straight set” menerusi skor 21-12 dan 21-17.
Menerusi kemenangan itu, Haikal-Hon Jian yang memenangi saingan Orleans Masters baru-baru ini akan berentap menentang pilihan ketiga kejohanan dari Indonesia, Leo Rolly Carnando dan Daniel Marthin.
Sementara itu, beregu campuran No.1 negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei turut sama melakar kemaraan ke peringkat suku akhir selepas menumpaskan pasangan India, Sathish Karunakaran dan Adaya Variyath.
Menanti Tang Jie-Ee Wei pada peringkat seterusnya adalah beregu Thailand, Supak Jomkoh dan Supissara Paewsampran – penghuni ranking ke-18 dunia.
Akhir sekali, Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai melengkapkan kemaraan empat wakil negara ke peringkat suku akhir selepas menewaskan beregu Jepun, Hiroki Nishi dan Akari Sato menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 21-17, 19-21 dan 21-11.
Soon Huat-Shevon akan bertemu Mathias Christiansen dan Alexandra Boje dari Denmark untuk merebut tiket ke separuh akhir.
Featured Image: Perodua Malaysia Masters 2023