Artikel

Kerajaan Malaysia Tolak Tawaran Anjur Sukan Komanwel 2026

Sukan Komanwel Kali Ke-23 yang dijadualkan diadakan pada tahun 2026 tidak akan dilangsungkan di Malaysia.

Perkembangan ini hadir selepas Kerajaan Malaysia memutuskan untuk tidak menerima tawaran daripada Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) sebagai tuan rumah bagi temasya berkenaan. 

Perkara itu diumumkan sendiri oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selepas Jemaah Menteri bermesyuarat menerusi satu kenyataan media yang dikongsikan pada hari ini.

Mesyuarat Jemaah Menteri membuat keputusan terbabit setelah meneliti semua aspek penganjuran dan implikasinya.

“Delegasi daripada CGF telah bertemu Menteri Belia dan Sukan dan mengadakan sesi penerangan mengenai tawaran selaku tuan rumah itu yang turut dihadiri oleh Menteri Kewangan kedua pada 5 Februari 2024.”

“Hasil pertemuan itu dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dan antara lain mengutarakan tawaran CGF berjumlah 100 juta pound (RM603 juta) dijangka tidak mampu menampung kos keseluruhan penganjuran temasya sukan berskala besar.”

“Selain itu, impak ekonomi tidak dapat dikenalpasti dalam jangka masa singkat ini.” tulis kenyataan media terbabit.

Disebalik penolakan tawaran terbabit, Kerajaan Malaysia mengucapkan terima kasih kepada CGF atas penawaran selaku tuan rumah bagi temasya sukan ketiga terbesar dunia ini yang melibatkan 74 buah negara anggota Komanwel.

Dimaklumkan, Kerajaan Malaysia mahu memberikan fokus kepada pembangunan sukan serta kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

komen