Artikel

Malaysia Jatuh 2 Anak Tangga Dalam Ranking Dunia FIFA

Skuad Malaysia bimbingan Kim Pan-gon terpaksa akur terperosok ke tangga ketiga Kumpulan D selepas tewas 0-2 kepada Oman pada aksi ketiga Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, awal pagi tadi.

Malaysia atau nama julukannya, Harimau Malaya tewas dengan keputusan terbabit hasil jaringan Issam Al-Sabhi dan Muhsen Al-Ghassani pada minit ke-58 dan ke-88 masing-masing dalam perlawanan yang berlangsung di Kompleks Stadium Sultan Qaboos.

Bukan itu sahaja, kekalahan 0-2 itu turut memberikan impak terhadap pungutan mata dan kedudukan Malaysia dalam Ranking Dunia FIFA.

Berdasarkan kiraan tidak rasmi, kekalahan itu menyebabkan Malaysia kehilangan 7.98 mata daripada 1110.17 mata yang terkumpul sebelum ini.

Kehilangan mata terbabit membuatkan Malaysia jatuh dua anak tangga dan kini menghuni ranking ke-134 dunia.

Manakala Oman yang merekodkan kemenangan pula meraih tambahan 7.98 mata dan membolehkannya mengumpul 1315.58 mata pada ketika ini.

Tambahan mata itu melonjakkan kedudukannya sebanyak tiga anak tangga sekaligus berada pada ranking ke-77 dunia.

Malaysia dan Oman akan berentap sekali lagi pada 26 Mac kelak di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk aksi keempat peringkat Kumpulan D dalam Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Kemaskini rasmi oleh FIFA terhadap Ranking Dunia akan dilakukan pada 4 April kelak.

Featured Image: Football Association of Malaysia

komen