Soon Huat-Shevon Akhiri Kemarau 68 Bulan Tanpa Kejuaraan
March 25, 2024 Hafizuddin Omar

Beregu campuran No.2 negara, Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai berjaya menamatkan kemarau panjang selama 68 bulan tanpa menjulang sebarang kejuaraan apabila muncul juara Terbuka Swiss 2024.

Kejuaraan itu hadir susulan Soon Huat-Shevon berhasil menumpaskan rakan senegara merangkap beregu campuran No.1 tanah air, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei dalam perlawanan akhir kejohanan Jelajah Dunia BWF Super 300, awal pagi tadi.

Dalam pertarungan tersebut, Soon Huat-Shevon meraih kemenangan bergaya secara “straight set” menerusi skor 21-16 dan 21-13 dalam tempoh sekitar setengah jam sahaja.

Hasil meraih kejuaraan ini, Soon Huat-Shevon dapat membawa pulang wang tunai bernilai AS$16,590 (~RM78,582) serta pungutan sebanyak 7,000 mata untuk dimasukkan dalam pelbagai pengiraan ranking.

Sementara itu, Tang Jie-Ee Wei pula menerima AS$7,980 (~RM37,799) serta memungut 5,950 mata.

Menariknya, Soon Huat-Shevon merangkul kejuaraan Terbuka Swiss ini buat julung kalinya selepas dua kali dikecewakan di pentas perlawanan akhir pada edisi 2023 dan 2022 yang lalu.

Dalam kedua-dua edisi terbabit, Soon Huat-Shevon terlepas peluang untuk bergelar juara apabila tewas kepada gandingan China, Zhen Bang Jiang-Ya Xin Wei dan Jerman, Mark Lamsfuss-Isabel Lohau masing-masing.

Untuk makluman semua, kali terakhir Soon Huat-Shevon berjaya merangkul kejuaraan adalah ketika beraksi di Terbuka Singapura sekitar Julai 2018 dengan menumbangkan beregu Indonesia, Tontowi Ahmad dan Liliyana Nasir dalam perlawanan akhir.

Featured Image: Facebook Victor

Komen