ADUN Gurun Dilantik Pengurus Pasukan KDA FC B
March 25, 2024 Hafizuddin Omar

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, YB Baddrol Bakhtiar kembali ke arena bola sepak apabila dilantik sebagai Pengurus Pasukan Kelab Bola Sepak Kedah Darul Aman B (KDA FC B) – skuad bawah 23 tahun (B-23).

Perlantikan Baddrol atau terkenal akronim BB7 pernah menyarung jersi skuad berjulukan Sang Kenari dari 2006 hingga 2021 diumumkan menerusi pelbagai platform media sosial milik kelab berkenaan, hari ini.

“Selamat kembali BB7, walaupun keutamaan sebagai seorang wakil rakyat menjadi tugasan baharu beliau, cintanya kepada bola sepak tidak pernah pudar.”

“Pihak pengurusan KDA FC melantik beliau sebagai Pengurus Pasukan KDA FC B yang akan beraksi di kejohanan Piala MFL (B-23) musim ini.” tulis kenyataan oleh pihak kelab.

Baca: Legenda Kedah BB7 & Pemegang Ijazah Diperkenalkan Sebagai Pemain Baharu Sabah

Sebagai rekod, Baddrol meninggalkan KDA FC pada penghujung 2021 dan menyertai Sabah FC di bawah kendalian bekas pengendali skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee.

Kelibatnya bersama Sabah pada musim 2022 membantu skuad tersebut meraih tempat ketiga dalam saingan Liga Super mara ke suku akhir dan separuh akhir saingan Piala FA dan Piala Malaysia masing-masing.

Bagaimanapun,  sekitar pertengahan tahun lalu, Baddrol mengejutkan arena bola sepak tempatan apabila menamatkan kontraknya secara persetujuan bersama dengan Sabah untuk terjun ke dalam bidang politik dengan menjadi calon bagi DUN Gurun dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15.

Baddrol yang mewakili Perikatan Nasional (PN) menyandang kerusi terbabit susulan berjaya memenangi pertandingan itu dengan memperoleh 17,771 undi mengalahkan calon Pakatan Harapan (PH), Mohammed Firdaus Johari yang meraih 11,187 undi.

Sementara itu, dalam perkembangan yang sama, Mohamad Khairul Ismail dilantik sebagai Ketua Jurulatih KDA FC B.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Kedah Darul Aman Football Club (@kedahdarulamanfc)

Featured Image: Facebook Baddrol Bakhtiar

Komen