Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon memaklumkan belum melihat keadaan terkini padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) biarpun ianya telah kecoh dibincangkan di pelbagai platform media sosial.
Oleh demikian, jurulatih kelahiran Korea berusia 54 tahun berkenaan tidak mengulas lanjut mengenai keadaan padang tersebut namun berharap ‘technician’ yang berjanji untuk menyediakan padang terbaik untuk perlawanan menentang mengotakan janjinya.
Difahamkan, ‘technician’ tersebut memberikan janjinya kepada Pan-gon sekitar 7 Mac lalu.
“Mengenai padang, saya tidak melihatnya lagi, tempoh hari, ‘technician’ itu berjanji kepada saya akan menyiapkan padang yang terbaik, kami memerlukan padang yang baik,”
“Saya menjangkakan dan mahu melihat padang yang bagus esok,” katanya dalam sidang media di Wisma FAM, pada hari ini.
Ketika melawat SNBJ pada 7 Mac lalu, Pan-gon pernah menyatakan rasa tidak puas hatinya terhadap keadaan padang selepas berlangsungnya konsert penyanyi terkenal dari England, Ed Sheeran.
Bagaimanapun, Pan-gon memberikan kepercayaan kepada “technician” berkenaan untuk menyediakan padang yang terbaik bagi perlawanan menentang Oman – aksi keempat peringkat Kumpulan D, Pusingan 2 kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Tambah Pan-gon, skuad berjulukan Harimau Malaya bimbingannya boleh dianggap sudah bagus sekiranya berhasil mendapat satu mata daripada perlawanan menentang pasukan yang menghuni ranking ke-80 dunia itu, pada malam esok.
Ini kerana skuad kebangsaan mempunyai baki dua perlawanan lagi pada peringkat Kumpulan D untuk mengutip mata bagi membolehkannya mara ke Pusingan 3 Kelayakan Piala Dunia 2026.
Featured Image: Football Association of Malaysia