Artikel

Padang Nampak Cantik, Hannah Gesa Penyokong Turun SNBJ

Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh menggesa para penyokong untuk turun ke Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) bagi memberikan sokongan padu buat skuad bola sepak kebangsaan bimbingan Kim Pan-gon pada malam ini.

Skuad kebangsaan atau nama julukannya Harimau Malaya akan berentap menentang pasukan yang menghuni ranking ke-80 dunia, Oman bagi aksi keempat peringkat Kumpulan D dalam Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Gesaan itu dibuat Hannah menerusi satu hantaran di pelbagai platform media sosialnya, semalam, kira-kira lima jam selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan 15,008 keping tiket telah terjual bagi perlawanan terbabit.

Dalam hantaran yang sama, Hannah turut menjawab komen daripada ketua jurulatih Oman, Jaroslav Silhavy yang menyatakan kedua-dua pasukan tidak dibenarkan menjalani latihan rasmi di SNBJ sehari sebelum perlawanan dilangsungkan.

Menurut Hannah, latihan di SNBJ tersebut tidak dibenarkan oleh Komisioner Perlawanan FIFA kerana hujan seringkali terjadi pada waktu petang sejak kebelakangan ini.

Namun begitu, Hannah memakluman bahawa padang SNBJ tersebut telah mendapat kelulusan daripada Komisioner Perlawanan untuk digunakan bagi pertembungan Malaysia dan Oman.

Bersama-sama hantaran itu, Hannah turut mengepilkan sekeping foto yang menunjukkan keadaan terkini padang SNBJ dari arah tempat duduk di grandstand.

Katanya, foto tersebut diambil pada jam 8.40 malam tadi.

Berdasarkan foto itu, padang tersebut dilihat berada dalam keadaan baik kecuali tiga kawasan yang diletakkan menara sistem audio ketika konsert Ed Sheeran, baru-baru ini.

komen